9 Peserta Sertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Sebuyau
SEBUYAU: Seramai sembilan peserta menyertai Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Sebuyau Tahun 1447H/2026M yang berlangsung meriah di Masjid Al-Muflihin, di sini, pada Selasa.
Program tahunan yang menghimpunkan qari dan qariah dari seluruh kawasan Sebuyau itu menyaksikan para peserta memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh tartil dan penghayatan, sekali gus mempamerkan keindahan seni bacaan serta kefahaman terhadap kalam suci Allah SWT.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang tilawah, malah sebagai usaha berterusan untuk menyemarakkan penghayatan al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Para peserta membacakan ayat-ayat pilihan daripada surah seperti Ali Imran, An-Nisa’, Al-Maidah dan Al-A’raf mengikut giliran yang telah ditetapkan di mana setiap peserta mempamerkan tahap bacaan yang baik dari segi tajwid, fasahah serta taranum.
Suasana tenang dan damai jelas terasa sepanjang pertandingan berlangsung, diselang-seli dengan alunan bacaan yang menyentuh jiwa.
Turut hadir menyaksikan pertandingan ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi yang meluangkan masa menyaksikan peserta serta memberi sokongan kepada penganjuran majlis berkenaan. -EDISI UKAS