Stor Penyimpanan Baharu Kampung Sungai Lingkau Hilir Siap Sepenuhnya
SIMUNJAN: Penduduk Kampung Sungai Lingkau Hilir kini boleh menikmati kemudahan stor penyimpanan barang yang lebih teratur dan selamat dengan siapnya Projek Bina Baharu Stor Penyimpanan Barang yang dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN bagi tahun 2024 di mana ia berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Majlis penyerahan projek siap dan kunci stor telah disempurnakan oleh pihak kontraktor kepada wakil tuai rumah Kampung Sungai Lingkau Hilir, Tawan Jawa dalam satu majlis ringkas pada Selasa.
Penyerahan tersebut turut disaksikan oleh Pegawai Khas Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Rafendy Ariffen, serta wakil Majlis Daerah Simunjan, Muhammad Amirul Zaki Hamzah, selaku agensi pelaksana projek.
Projek ini melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM80,000 dan telah dimulakan pada 27 Januari lalu.
Pada asalnya, projek berkenaan dijadualkan siap pada 27 Mei 2026, namun berjaya disiapkan lebih awal hasil komitmen tinggi pihak kontraktor dan kerjasama erat semua pihak yang terlibat.
Rafendy menzahirkan penghargaan kepada pihak kontraktor dan Majlis Daerah Simunjan atas pelaksanaan projek yang cekap serta berkualiti.
Beliau berharap agar kemudahan yang telah disediakan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat dan dijaga dengan baik demi kepentingan bersama.
Sementara itu, wakil tuai rumah Kampung Sungai Lingkau Hilir, Tawan Jawa turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan melalui peruntukan RTP serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek tersebut.
Menurut beliau, kemudahan stor baharu ini amat penting bagi penduduk kampung untuk menyimpan peralatan dan barangan kegunaan bersama secara lebih sistematik, sekali gus memudahkan penganjuran aktiviti komuniti. -EDISI UKAS