KMKK Penghubung Penting Antara Rakyat dan Kerajaan
LUNDU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting sebagai penghubung utama antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan penyampaian maklumat, aduan serta pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan berkata, KMKK memikul tanggungjawab besar dalam memahami keperluan sebenar komuniti setempat selain membantu menyampaikan dasar dan inisiatif kerajaan kepada rakyat.
"Peranan ketua masyarakat bukan sahaja menyampaikan isu pembangunan, tetapi juga menjadi individu yang paling dekat dengan rakyat dan memahami keperluan sebenar komuniti masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Kursus Pemantapan Kepimpinan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) N3 Tanjong Datu 2026 di Mini Auditorium Majlis Daerah Lundu pada Selasa.
Justeru, Azizul berharap semua KMKK di kawasan Tanjong Datu terus memperkukuh kerjasama serta meningkatkan mutu kepimpinan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan kawasan.
Pada majlis sama, turut diadakan penyampaian watikah pelantikan semula kepada 19 orang KMKK sebagai pengiktirafan terhadap khidmat dan komitmen mereka kepada masyarakat setempat.
Selain itu, seramai enam penerima turut menerima Sijil Pengiktirafan Sebagai Bumiputera Sarawak. -EDISI UKAS