SMK Agama Igan Terima 611 Naskhah Al-Quran, 27 Pelajar Cemerlang SPM 2025 Diraikan
IGAN: Sebanyak 611 naskhah Al-Quran diagihkan kepada pelajar, guru serta kakitangan SMK Agama Igan dalam Majlis Penyerahan Al-Quran dan Insentif Pelajar Cemerlang SPM 2025.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata agihan tersebut merupakan inisiatif Lembaga Amanah Islam Mukah dalam memperkukuh penghayatan Islam dalam kalangan warga sekolah.
“Inisiatif ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan, malah usaha berterusan untuk menyemarakkan budaya membaca al-Quran dalam kalangan pelajar.
“Ia juga diharap dapat menggalakkan amalan membaca, menghayati dan memahami isi kandungan al-Quran secara konsisten, termasuk melalui aktiviti seperti khatam dan pembacaan terjemahan,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di SMK Agama Igan, pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa al-Quran merupakan panduan hidup yang lengkap serta sumber rujukan utama dalam membentuk sahsiah dan jati diri pelajar yang seimbang dari segi rohani dan intelektual.
Jelasnya, penghayatan terhadap isi kandungan al-Quran bukan sahaja penting dalam kehidupan seharian, malah mampu membentuk generasi yang berakhlak tinggi serta berdaya saing dalam menghadapi cabaran masa depan.
Pada majlis sama, seramai 27 pelajar cemerlang SPM 2025 menerima insentif sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik mereka.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua penerima dan berharap kejayaan tersebut menjadi dorongan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Majlis berkenaan turut dihadiri barisan pentadbir sekolah, guru serta ibu bapa yang bersama-sama meraikan kejayaan pelajar dalam suasana penuh bermakna.-EDISI UKAS