Pembangunan Infrastruktur Percepat Akses, Tingkat Kesejahteraan Penduduk Luar Bandar
SEDI: Pembangunan infrastruktur yang melibatkan pembinaan jambatan di kawasan luar bandar terus dipergiat bagi mempercepat akses serta meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Datuk Abdullah Saidol berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi lawatan tapak bersama agensi pelaksana bagi meninjau perkembangan semasa projek termasuk pembinaan Jambatan Batang Paloh yang dijangka siap dalam masa terdekat.
Menurut beliau, beberapa projek jambatan kecil turut dilaksanakan di kawasan sekitar, khususnya di bahagian utara Pulau Bruit, bagi memperkukuh jaringan perhubungan penduduk luar bandar.
“Pembinaan jalan baharu yang dirancang akan memberi kemudahan kepada penduduk kampung yang sebelum ini terpaksa menggunakan jalan ladang untuk ke jalan utama,” katanya ketika berucap dalam sesi bersama penduduk di Kampung Sedi, Daro pada Selasa.
“Apabila siap kelak, kemudahan tersebut bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri di kawasan berkenaan,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah menyalurkan bantuan dana sebanyak RM10,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), iaitu masing-masing kepada JKKK Sedi dan JKKK Rh Jingga bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan keperluan komuniti setempat.
Selain itu katanya, pembangunan infrastruktur yang berterusan akan membuka lebih banyak peluang ekonomi serta merancakkan pertumbuhan kawasan luar bandar, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat. - EDISI UKAS