PERKESO & SCOPE Anjur Pameran Kerjaya 20 Mei Ini, Tawar Ratusan Peluang Pekerjaan
KUCHING: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dengan kerjasama Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn. Bhd. (SCOPE) akan menganjurkan MYFutureJobs x GETS-WRP Career Fair 2026 pada 20 Mei ini di Pustaka Negeri Sarawak, sebagai platform memperluas peluang pekerjaan khususnya kepada graduan di Sarawak.
Pameran kerjaya dengan tema 'Your Career Starts Here' yang dijadual berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu menyasarkan penyertaan graduan menganggur, pelajar tahun akhir institusi pengajian tinggi serta pencari kerja yang ingin meningkatkan peluang kerjaya melalui padanan pekerjaan secara terus.
Ketua Wilayah Unit PERKESO Sarawak, Dr Belinda Lim Kim Moi berkata, kolaborasi ini memanfaatkan platform MYFutureJobs yang merupakan portal pekerjaan nasional berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memadankan pencari kerja dengan majikan yang sah dan kekosongan jawatan yang telah disahkan.
“Platform ini menghubungkan pencari kerja dengan majikan secara lebih telus dan efisien.
"Kami bukan sahaja mengesahkan kekosongan jawatan, malah turut membantu memadankan calon sebelum, semasa dan selepas pameran,” katanya ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Pejabat SCOPE, di sini pada Selasa.
Menurut Dr Belinda, pendekatan berasaskan data itu juga membantu mengurangkan isu 'job mismatch' dan 'skill mismatch' yang sering berlaku dalam kalangan graduan.
“Melalui pangkalan data bakat yang luas, kami membantu majikan mendapatkan calon yang lebih tepat, manakala pencari kerja pula menerima bimbingan seperti persediaan temuduga, kaunseling kerjaya serta program peningkatan kemahiran,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim Jit Sek memberitahu, pameran tersebut dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 249 kekosongan jawatan setakat ini, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat menjelang hari program.
“Ini adalah platform padanan pekerjaan yang memberi peluang kepada graduan untuk terus berinteraksi dengan majikan, menjalani temuduga secara terus dan mendapatkan pendedahan industri,” ujarnya dalam temubual sama.
Tambah beliau, antara sektor terlibat termasuk perkhidmatan, kewangan, tenaga, minyak dan gas, pembuatan, pembinaan serta pelbagai industri lain.
Katanya lagi, antara objektif utama program adalah untuk menggalakkan graduan memulakan kerjaya mereka walaupun bukan dalam pekerjaan yang diimpikan.
“Tiada pekerjaan yang sempurna pada permulaan. Apa yang penting, para graduan perlu bermula dahulu walaupun ia bukan pekerjaan yang mereka impikan. Dari situ, pengalaman akan membuka lebih banyak peluang pada masa depan,”tegas beliau.
Selain peluang pekerjaan, pengunjung juga boleh mendaftar secara terus ke Program Latihan Pemantapan Graduan Sarawak–Program Kesediaan Tempat Kerja (GETS-WRP), yang menawarkan latihan kemahiran, elaun, serta pendedahan industri kepada peserta, dengan matlamat meningkatkan kebolehpasaran serta mengurangkan kadar pengangguran di wilayah ini.
Sehubungan itu, orang ramai digalakkan hadir dengan membawa resume bagi menyertai sesi temu duga secara terus bersama majikan.-EDISI UKAS