16 Penduduk B40 Simunjan Terima Bantuan Program LIFE
SIMUNJAN: Seramai 16 penduduk kategori B40 di daerah ini menerima bantuan di bawah Program Low Income Family Empowerment (LIFE) dengan setiap aset yang diterima merupakan kelengkapan perniagaan lain mahupun peralatan rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menegaskan agar penerima tidak menyalahgunakan, apatah lagi menjual peralatan yang disalurkan oleh kerajaan namun dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan serta meningkatkan taraf hidup.
Jelasnya, tindakan menjual atau kehilangan peralatan tersebut boleh membawa implikasi serius, khususnya dari sudut pengauditan.
“Apa yang kita bimbangkan, sekiranya audit dijalankan, ia akan melibatkan semua pihak.
"Siasatan akan dibuat dari peringkat awal hingga ke peringkat atasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan LIFE Daerah Simunjan yang berlangsung di Rumah Rehat Villa Kenangan, pada Selasa
Beliau turut menggesa para peserta agar menghargai bantuan yang diberikan dengan menjaga serta menyelenggara peralatan tersebut dengan baik, sekali gus memastikan kelangsungan operasi perniagaan masing-masing.
Tambahnya, inisiatif seperti ini diharap dapat membantu usahawan kecil, khususnya pengusaha kuih-muih, untuk terus berkembang dan seterusnya meningkatkan ekonomi keluarga secara berterusan.
Sementara itu, Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad berkata, bantuan sehingga RM5,000 itu disalurkan melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), khusus kepada penerima yang telah menjalankan perniagaan kecil seperti penjaja, tukang jahit dan nelayan.
Pelbagai peralatan turut diserahkan termasuk mesin rumput, peralatan membuat kuih, set gunting rambut dan lain-lain. -EDISI UKAS