Johan Qariah Kebangsaan Adakan Kunjungan Hormat Kepada TYT Sarawak, Persembah Trofi Kemenangan
KUCHING: Qariah dari Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa yang dinobatkan sebagai Johan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Bilik Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak, pada Rabu.
Kunjungan tersebut bertujuan mempersembahkan trofi kemenangan yang diraih di peringkat kebangsaan kepada TYT Sarawak sebagai tanda penghormatan serta berkongsi kejayaan membanggakan negeri ini di pentas nasional.
Pertemuan yang berlangsung kira-kira sejam itu turut menjadi platform untuk menzahirkan penghargaan terhadap sokongan berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan syiar Islam serta melahirkan bakat qari dan qariah berkualiti.
Nur Syakura mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan penantian selama 17 tahun buat Sarawak untuk meraih gelaran johan qariah kebangsaan.
Kejayaan tersebut lebih bermakna apabila ia merupakan penyertaan keenam beliau sejak kali pertama mengambil bahagian pada tahun 2017.
Turut mengiringi kunjungan itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersama isteri Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidel.
Hadir sama, Ketua Penyelia GAQ-MIS, Dato Ismawi Duet, Timbalan Pengarah II Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Wan Shaifuddin Wan Madihi, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS), Mohd Shalahudin Marzuki, Ketua Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat JAIS, Helmi Dato Nahrawi serta Pegawai Tadbir Komunikasi Korporat JAIS, Zaliha Minan.- EDISI UKAS