Infrastruktur Sematan Diperkasa Menerusi Enam Projek RTP Tanjong Datu
SEMATAN: Usaha memperkukuh pembangunan luar bandar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu terus dipergiat apabila enam projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjaya diserahkan kepada penduduk setempat pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Pehin Sri Adenan telah menyempurnakan majlis penyerahan projek tersebut yang berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kampung Sebat Baru, Kampung Pueh, Kampung Pueh Kenek, Kampung Siru Dayak dan Kampung Sungai Kilong.
Menurut beliau, pelaksanaan projek RTP ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kemudahan asas dan infrastruktur luar bandar sentiasa dipertingkat demi kesejahteraan rakyat.
Antara projek yang telah siap sepenuhnya ialah kerja naik taraf tempat letak kereta di Dewan Kampung Sebat Baru serta naik taraf balairaya Kampung Pueh Kenek yang dilaksanakan oleh Majlis Daerah Lundu.
Dalam masa sama, projek yang sedang dalam pelaksanaan turut diserahkan, termasuk kerja naik taraf sistem perparitan di Lorong 18 Kampung Sebat Baru dan Kampung Siru Dayak di bawah kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran.
Selain itu, dua lagi projek melibatkan Jabatan Kerja Raya iaitu naik taraf Rumah Panjang Bidayuh Salako Kampung Pueh serta pembinaan baharu balai raya Kampung Sungai Kilong turut menjadi sebahagian daripada inisiatif tersebut.
Kesemua projek ini dilihat mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat, khususnya dalam menyediakan kemudahan yang lebih selesa serta menangani isu asas seperti sistem saliran.
Kira-kira 100 penduduk setempat hadir menyaksikan majlis tersebut yang turut dihadiri Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail.
Program anjuran Pusat Khidmat N3 Tanjong Datu itu menjadi bukti pendekatan proaktif dalam memastikan setiap perancangan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan memberi manfaat langsung kepada rakyat.- EDISI UKAS