Miri Perkukuh Jaringan Budaya Antarabangsa, ‘The Taste of Borneo 2026’ Sasar Rekod Malaysia & Jalinan Bandar Persahabatan Lijiang
MIRI: Bandaraya Miri terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat tumpuan budaya serantau menerusi penganjuran ‘The Taste of Borneo Carnival’ edisi ke-4 bermula 1 hingga 12 Julai depan yang akan menampilkan penyertaan antarabangsa yang lebih meluas, termasuk Indonesia, Brunei, Sabah serta buat pertama kali delegasi dari Yunnan, China.
Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang memaklumkan, penyertaan antarabangsa tahun ini memperkukuh objektif penganjuran untuk menjadikan Miri sebagai hab pertukaran budaya serantau.
“Antara tarikan utama tahun ini ialah penyertaan dari Indonesia, Brunei dan Sabah yang telah menjadi sebahagian daripada edisi terdahulu, serta kemasukan baharu dari Yunnan, China,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Semasa acara itu nanti, Miri bakal memeterai hubungan Bandar Persahabatan dengan Majlis Perbandaran Lijiang pada 4 Julai, yang akan disaksikan oleh Premier Sarawak.
Langkah itu tercetus hasil lawatan jawatankuasa karnival ke Yunnan pada tahun 2025, yang mendapati persamaan ketara antara etnik di Yunnan dengan komuniti tempatan di Borneo, termasuk hubungan budaya dan sejarah antara beberapa kumpulan etnik.
Selain pertukaran budaya, kerjasama itu turut membuka potensi dalam sektor pelancongan dan pendidikan antara kedua-dua pihak.
Sementara itu, pihak penganjur turut menjelaskan bahawa penyertaan 24 persatuan etnik pada tahun ini merupakan pencapaian terbesar setakat ini, sekali gus mencerminkan kekuatan perpaduan masyarakat majmuk di Miri.
Pencapaian ini sekaligus menyasarkan pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records’ (MBOR) menerusi kategori penyertaan etnik terbanyak dalam satu acara perarakan jalanan, melibatkan kesemua 24 persatuan etnik. -EDISI UKAS