225 Kontraktor Hadir Sesi Libat Urus Perkukuh Kerjasama Strategik
MIRI: Seramai 225 kontraktor dari lima daerah di Bahagian Miri menghadiri Majlis Penangguhan Sesi Libat Urus Bersama Kontraktor Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Bangunan FORUM Miri.
Program anjuran Pejabat Residen Bahagian Miri dengan kerjasama Unit Pembangunan Kontraktor dan Pembekal (UPKP), Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak itu menjadi platform penting menghimpunkan pemain industri pembinaan bersama agensi kerajaan bagi memperkukuh kerjasama strategik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata sesi libat urus seumpama ini amat signifikan dalam memastikan hubungan antara kerajaan dan kontraktor terus kukuh serta berkesan.
Beliau berkata, kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi pelaksana dan kontraktor mencerminkan komitmen bersama dalam mempertingkatkan kefahaman serta memperkasakan ekosistem pembangunan negeri.
“Kontraktor bukan sekadar pelaksana projek, tetapi rakan strategik kerajaan dalam merealisasikan agenda pembangunan negeri.
“Kejayaan projek bukan hanya bergantung kepada pelaksanaan fizikal semata-mata, tetapi juga aspek pematuhan, integriti dan profesionalisme,” katanya semasa berucap
pada majlis tersebut pada Selasa.
Menurut beliau, antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek ialah prestasi kontraktor selain isu teknikal, tenaga kerja dan logistik.
Sehubungan itu, beliau menggesa kontraktor untuk meningkatkan keupayaan dan prestasi masing-masing agar projek dapat disiapkan mengikut jadual, kos dan kualiti yang ditetapkan.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa kerajaan turut memainkan peranan penting dalam membantu kontraktor, khususnya dalam menangani risiko luar jangka seperti kenaikan mendadak harga bahan binaan, namun kontraktor perlu bijak mengurus risiko biasa dalam perancangan projek.
Sementara itu, Residen Bahagian Miri, Galong Luang dalam ucapan aluannya menekankan kepentingan sesi libat urus sebagai medium dua hala untuk membolehkan kontraktor menyuarakan isu, cabaran serta cadangan secara terus kepada pihak kerajaan.
Program tersebut dianjurkan dengan beberapa objektif utama termasuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan kontraktor berdaftar berkaitan prosedur, dasar serta pelaksanaan projek kerajaan, selain memperkukuh penyelarasan dan komunikasi strategik antara agensi kerajaan dan pihak kontraktor.
Melalui sesi libat urus ini juga, kerajaan dapat mengenal pasti permasalahan sebenar di lapangan termasuk isu kos bahan, tenaga kerja, dokumentasi serta kelewatan projek, seterusnya mencari penyelesaian secara bersama.
Majlis turut diisi dengan sesi dialog, penyampaian sijil penghargaan kepada wakil kontraktor dari setiap daerah serta sesi jaringan bersama agensi berkaitan.
Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan sentiasa cekap, responsif serta selari dengan aspirasi pembangunan negeri menjelang 2030.-EDISI UKAS