Miri Berdepan Risiko Kebakaran Tanah Gambut Akibat Kemarau, Langkah Kesiapsiagaan Dipertingkat
MIRI: Bahagian Miri kini berada dalam keadaan berisiko tinggi berikutan cuaca kering berpanjangan yang meningkatkan kemungkinan berlakunya kebakaran, khususnya di kawasan tanah gambut.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keadaan kemarau yang sedang melanda bukanlah sesuatu yang luar biasa, namun memerlukan tahap kesiapsiagaan dan kerjasama menyeluruh semua pihak bagi mengelakkan insiden kebakaran terbuka yang boleh merebak dengan pantas dan sukar dikawal.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan tanda awal kebakaran seperti asap di kawasan berhampiran.
“Kerjasama masyarakat amat penting dalam situasi ini bagi memastikan risiko kebakaran dapat diminimumkan sejak peringkat awal,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Faculty of Makan di Curtin University Malaysia, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa beberapa pasukan tambahan telah digerakkan bagi memperkukuh keupayaan operasi pemadaman kebakaran, susulan kekangan kapasiti sekiranya berlaku kejadian serentak di beberapa lokasi.
Menurutnya, bantuan turut dimohon daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia serta Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mempertingkat kesiapsiagaan dan sokongan logistik di lapangan.
Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat korporat yang memiliki tanah belum dimajukan perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau kawasan masing-masing serta bertindak segera sekiranya berlaku kebakaran di premis mereka.
Pada masa sama, beberapa inisiatif melibatkan penyertaan sukarelawan korporat turut digerakkan bagi membantu operasi pemadaman di kawasan terjejas, sekali gus memperkukuh pendekatan respons komuniti.
Mengulas cabaran operasi, Dato Sri Lee menjelaskan bahawa kebakaran tanah gambut merupakan antara situasi paling kompleks kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah tanpa dikesan secara langsung, sekali gus memerlukan penggunaan jentera berat seperti ekskavator bagi kerja-kerja penggalian dan pemadaman punca api.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jabatan Meteorologi telah memaklumkan bahawa keadaan kering dijangka berterusan dalam tempoh terdekat, justeru langkah intervensi seperti operasi pembenihan awan telah dicadangkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC).
Permohonan tersebut telah dimaklumkan kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi SDMC, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan pihak berkaitan kini sedang menunggu keputusan lanjut bagi pelaksanaan operasi tersebut dalam masa terdekat. -EDISI UKAS