LAKIB Salur RM400,000 Jayakan Pengimarahan Raya Korban Di Bintulu
BINTULU: Lembaga Amanah Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) menyalurkan sumbangan berjumlah RM400,000 bagi menjayakan program pengimarahan Hari Raya Korban 2026 melibatkan 41 masjid dan surau di Bintulu serta kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak merangkap Pengerusi LAKIB, Iskandar Turkee berkata sumbangan itu merangkumi 23 masjid dan 18 surau termasuk di Belaga, Sungai Asap, Nyalau, Pandan, Labang serta Tatau.
Katanya, inisiatif berkenaan bertujuan memastikan sambutan Hari Raya Korban dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
“Peruntukan ini disalurkan bagi memastikan setiap masjid dan surau dapat melaksanakan ibadah korban serta aktiviti berkaitan dengan lebih tersusun dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyaluran sumbangan pengimarahan Raya Korban LAKIB di Surau Darussyakirin, Kampung Assyakirin pada Rabu.
Tambahnya, pengagihan sumbangan dilaksanakan secara adil dengan mengambil kira keperluan serta populasi setempat bagi memastikan semua kawasan menerima manfaat sewajarnya.
Menurutnya, sumbangan tersebut melibatkan kadar RM10,000 bagi seekor lembu dan disalurkan terus ke dalam akaun masjid serta surau terlibat.
Dalam pada itu, beliau berkata, usaha berkenaan turut membantu memperkukuh peranan masjid dan surau sebagai pusat aktiviti keagamaan serta kebajikan masyarakat. -EDISI UKAS