Hungary Berhasrat Tingkatkan Keterlibatan Dalam Program Di Sarawak
KUCHING: Hungary menyatakan komitmen jelas untuk meningkatkan keterlibatan secara lebih aktif dan menyeluruh di Sarawak melalui pelbagai inisiatif strategik merangkumi pelancongan, pendidikan, penyelidikan serta pertukaran budaya.
Duta Besar Hungary ke Malaysia, Dr Sandos Sipos berkata, penglibatan ini akan membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan dua hala dengan pendekatan lebih tersusun.
“Untuk masa depan adalah bagaimana Hungary dapat mengambil bahagian dengan lebih aktif dan lebih menonjol di Kuching di mana pada bulan Jun tahun ini, kami akan mengadakan satu acara bersama Perpustakaan Negeri Sarawak.
“Hungary juga berhasrat untuk menyertai beberapa program anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak seperti festival jazz pada bulan Disember, serta berkemungkinan besar pada tahun hadapan dalam Rainforest World Music Festival (RWMF) dengan membawa kumpulan muzik dan tarian rakyat Hungary ke Kuching,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Dalam aspek pendidikan, Hungary turut komited memperkukuh kerjasama melalui penawaran 40 biasiswa kepada pelajar Malaysia bagi mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bahasa Inggeris, di samping memperluas jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi kedua-dua pihak.
“Selain itu, kami juga telah mengenal pasti satu bidang penyelidikan yang berpotensi dalam bidang biodiversiti, iaitu bagaimana alam semula jadi Sarawak yang luar biasa dan unik sebagai kawasan tumpuan biodiversiti, dengan gaya hidup sihat dan jangka hayat yang panjang, serta peluang budaya yang sangat kaya, dapat diterokai dan dimanfaatkan,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka penganjuran pameran bersama antara Muzium Etnografi Hungary dan Muzium Budaya Borneo pada tahun hadapan sebagai platform memperkukuh hubungan kebudayaan.
Turut hadir dalam kunjungan hormat berkenaan ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak Kementerian Luar Negeri Malaysia Dato Fenny Nuli dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) Julin Alen. -EDISI UKAS