Pembinaan Infrastruktur Kekal Dirancang Di Tapak Pesta Kaul Mukah
KUCHING: Pembinaan infrastruktur kekal kini sedang dirancang di Tapak Pesta Kaul Mukah sebagai langkah strategik bagi meningkatkan kemudahan serta mengurangkan kos penganjuran acara pada masa hadapan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, perbincangan berkenaan telah dibuat bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sempena kunjungan hormat beliau di Kompleks Satria Pertiwi, pada Rabu.
Menurutnya, antara infrastruktur yang akan dipertimbangkan termasuklah khemah dan pentas kekal serta menaik taraf tempat letak kereta sedia ada.
“Kita telah berbincang dengan Premier Sarawak berkaitan mengenai keperluan untuk menambah baik fasiliti sedia ada di kawasan berkenaan supaya kos penganjuran acara dapat dikurangkan pada masa akan datang.
“Antara cadangan yang dikemukakan ialah pembinaan struktur kekal seperti khemah kekal dan pentas kekal, berbanding penggunaan khemah sementara yang perlu dibawa masuk setiap kali penganjuran acara diadakan dan penambahbaikan kemudahan parkir kerana isu kekurangan ruang parkir sering berlaku setiap kali acara dianjurkan,” ujarnya dalam sidang media selepas kunjungan tersebut.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Induk Kaul Mukah 2026 itu lagi, sambutan terhadap penganjuran Pesta Kaul semakin meningkat bukan sahaja dari kalangan penduduk tempatan malah dari pelancong luar negara.
Keadaan ini katanya memerlukan fasiliti dan infrastruktur yang lebih baik untuk menampung penganjuran acara berskala besar seumpama ini pada masa hadapan.
Sementara itu, ADUN Tellian, Royston Valentine turut mencadangkan pembinaan medan selera kekal di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) bagi menyokong aktiviti sepanjang tahun.
“Ini bermaksud kita tidak menghadapi masalah besar pada masa hadapan untuk mengadakan apa sahaja bentuk keramaian di kawasan pantai tersebut, sama ada Pesta Kaul, pesta makanan atau apa juga aktiviti lain, ia boleh dilaksanakan dengan lebih baik kerana kita sedang menambah baik kemudahan sedia ada,” ujarnya.
Hadir sama, Pemangku Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili dan Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip. -EDISI UKAS