Showcase Usahawan Sarawak Ketengah Produk Tempatan Ke Semenanjung
KUANTAN: Program Showcase Usahawan Sarawak (SUS) menjadi platform dalam mengetengahkan produk usahawan Sarawak ke pasaran Semenanjung, sekali gus memperluas jaringan perniagaan serta peluang pemasaran.
Program anjuran Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta swasta itu berlangsung meriah di Kuantan City Mall bermula Rabu hingga 3 Mei 2026.
Sepanjang lima hari penganjuran, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan dan pameran produk tempatan, jualan makanan dan minuman, serta demonstrasi produk oleh para usahawan.
Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan pertandingan seperti nyanyian dan mewarna, di samping sesi padanan perniagaan serta pembentangan idea bagi membuka peluang kerjasama antara usahawan.
Tidak ketinggalan, persembahan artis tempatan dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia bagi menambah kemeriahan suasana selain pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah menarik menerusi cabutan bertuah yang dijalankan sepanjang program.
Orang ramai khususnya warga Pahang dijemput hadir mengunjungi program ini dan bersama-sama menyokong produk tempatan serta memperkukuh jaringan perniagaan antara Sarawak dan Semenanjung.-EDISI UKAS