“Faculty of Makan” perkukuh ekosistem kampus holistik di Miri
MIRI: Pembukaan “Faculty of Makan” di Curtin University Malaysia mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkaya persekitaran kampus sebagai ruang pembelajaran yang lebih holistik, dinamik dan inklusif.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata pembukaan “Faculty of Makan” bukan sekadar menambah kemudahan kafe di dalam kampus, sebaliknya melambangkan evolusi institusi pendidikan ke arah penyediaan persekitaran pembelajaran yang lebih menyeluruh.
Menurut beliau, ruang sedemikian memainkan peranan penting sebagai platform interaksi harian pelajar untuk bertukar idea, membina jaringan serta merangsang kreativiti dalam suasana santai.
“Institusi pendidikan masa kini perlu melangkaui kecemerlangan akademik semata-mata dengan menyediakan persekitaran sosial dan budaya yang menyokong perkembangan menyeluruh pelajar,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian yang berlangsung di Jalan Curtin di sini pada Rabu.
Beliau turut menekankan bahawa Sarawak terus memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan, bakat serta kesejahteraan belia sebagai asas pembentukan modal insan berdaya tahan dan kompetitif.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee memuji konsep “Faculty of Makan” yang mengetengahkan identiti tempatan melalui penyediaan hidangan Sarawak serta sentuhan moden makanan serantau, sekali gus mencerminkan keseimbangan antara tradisi dan inovasi.
Tambah beliau, elemen mural tetap yang menghiasi ruang berkenaan bukan sahaja memperindah suasana, malah menjadi simbol pengekalan budaya, ilmu dan hubungan komuniti dalam kalangan warga kampus.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Interhill Hospitality atas komitmen menyediakan kemudahan berkualiti serta kepada Curtin University Malaysia yang terus memupuk persekitaran kondusif bagi kecemerlangan akademik dan kesejahteraan pelajar.
“Kerjasama antara industri dan institusi pendidikan seperti ini membuktikan potensi besar yang boleh dicapai melalui perkongsian visi strategik,” ujarnya.
Majlis diakhiri dengan simbolik perasmian “Faculty of Makan” yang akan menjadi ruang penting bagi warga kampus untuk berinteraksi, berehat dan mencipta pengalaman bermakna sepanjang tempoh pengajian mereka.-EDISI UKAS