Geran MRP Perkasa Program Pendidikan Khas di Meradong
MERADONG: Program Pendidikan Khas di SMK Bandar Bintangor terus diperkasa apabila menerima suntikan Geran Khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti sepanjang tahun 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyaluran geran tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan serta pembangunan murid berkeperluan pendidikan khas sentiasa diberi perhatian.
“Pendidikan khas merupakan platform penting dalam mengetengahkan potensi murid-murid berkeperluan khas. Tema ‘Pendidikan untuk Semua, Peluang untuk Setiap Insan’ amat bertepatan dalam memastikan tiada sesiapa tercicir daripada arus pendidikan.
“Sebagai wakil rakyat, saya amat menyokong usaha yang memberi penekanan kepada pendidikan inklusif agar setiap anak berpeluang untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Pendidikan Khas Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong anjuran SMK Bandar Bintangor serta Majlis Penyerahan Insentif SPM 2025, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak PPD Meradong, SMK Bandar Bintangor serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan termasuk ibu bapa dan penjaga yang sentiasa memberi sokongan kepada anak-anak istimewa.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan Sarawak kini memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi digital serta teknologi masa depan yang membuka peluang luas kepada generasi muda untuk berjaya.
Beliau turut menggesa para pelajar agar memanfaatkan peluang pendidikan tinggi percuma yang akan dilaksanakan mulai tahun 2026 selain terus berusaha, mengekalkan disiplin dan tidak mudah berputus asa dalam mencapai kejayaan.
Pada majlis sama, seramai 20 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 turut menerima insentif sebagai penghargaan atas pencapaian mereka, sekali gus menjadi motivasi kepada pelajar lain untuk terus melakar kejayaan.-EDISI UKAS