Penjawat Awam Digesa Berani Berinovasi, Idea Kecil Mampu Bawa Perubahan Besar
KUCHING: Penjawat awam digesa agar berani mengetengahkan idea baharu termasuk yang dilihat kecil atau luar kebiasaan kerana berpotensi membawa perubahan besar dalam penambahbaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak (KPWK), Datuk Rosey Yunus berkata inovasi tidak semestinya bermula dengan idea besar, sebaliknya boleh tercetus daripada pemerhatian terhadap masalah harian serta maklum balas masyarakat.
“Kadangkala idea yang dianggap kecil atau ‘simple’ sebenarnya mampu menjadi penyelesaian yang efektif kepada sesuatu permasalahan.
“Apa yang penting ialah kita melihat sesuatu isu itu, memahami bagaimana ia berlaku dan memikirkan bagaimana kita mahu menambah baik perkhidmatan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penutupan Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) 2026 di Penview Convention Centre (PCC), Demak, pada Rabu.
Menurut beliau, setiap inovasi yang diketengahkan perlu berasaskan data, berpandukan punca masalah sebenar serta boleh diukur bagi memastikan keberkesanannya memberi impak kepada masyarakat.
Tambahnya, konvensyen KIK merupakan platform strategik dalam memupuk budaya kreativiti dan inovasi dalam kalangan penjawat awam sekali gus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
“Segala usaha ini akhirnya adalah untuk memastikan perkhidmatan yang kita sampaikan benar-benar memenuhi keperluan rakyat dan memberi kesejahteraan kepada masyarakat,” ujarnya.
Pada konvensyen tersebut, kumpulan Hachi Suno muncul juara dengan membawa pulang wang tunai RM2,500, diikuti Kenyalang Drone di tempat kedua dengan RM2,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh CkeiNova yang menerima RM1,500.
Seramai 72 peserta daripada 10 kumpulan telah mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut dengan membentangkan pelbagai projek inovasi yang berpotensi memberi impak tinggi kepada perkhidmatan awam.-EDISI UKAS