Empat Pelajar Cemerlang SPM Cetus Inspirasi Warga SMK Tong Hua
BINTANGOR: Kejayaan empat pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari SMK Tong Hua bukan sahaja membanggakan sekolah, malah menjadi inspirasi kepada rakan pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan akademik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata pengiktirafan melalui pemberian insentif tersebut merupakan satu bentuk dorongan berterusan dalam memupuk semangat kecemerlangan dalam kalangan pelajar.
“Pemberian insentif ini bukan sekadar ganjaran, tetapi juga sebagai motivasi kepada pelajar lain khususnya Tingkatan 3, 4 dan 5 untuk terus gigih dalam pelajaran.
“Kejayaan yang diraih ini membuktikan bahawa dengan usaha dan disiplin, setiap pelajar berpotensi untuk mencapai kejayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian insentif kepada pelajar cemerlang SPM 2025 di SMK Tong Hua, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas komitmen dalam melahirkan pelajar berprestasi tinggi serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkasa pembangunan modal insan termasuk memberi penekanan kepada bidang strategik seperti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan generasi muda kekal berdaya saing.
Majlis tersebut bukan sahaja menjadi platform penghargaan terhadap pencapaian pelajar, malah berperanan menyuntik semangat dalam kalangan warga sekolah untuk menjadikan kejayaan tersebut sebagai pemangkin ke arah kecemerlangan pada masa hadapan.-EDISI UKAS