TERAJU Perkukuh Komitmen Pembangunan Bumiputera di Sarawak, Perluas Kerjasama Strategik Persekutuan–Negeri
KUCHING: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) di bawah Kementerian Ekonomi menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi Bumiputera di Sarawak melalui kerjasama strategik bersama kerajaan negeri.
Komitmen itu dizahirkan susulan kunjungan hormat TERAJU ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang turut menjadi platform perkongsian pencapaian serta hala tuju program pembangunan Bumiputera di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, pertemuan tersebut dimanfaatkan untuk berkongsi pengalaman hasil pelaksanaan TERAJU Aspirasi Outreach yang telah diadakan dua minggu lalu.
“Antara acara kemuncak program berkenaan ialah pelancaran program pembiayaan Bumiputera Sabah Sarawak Scale-Up Fund (BSSF) yang menyediakan pembiayaan khusus dan holistik kepada syarikat-syarikat perniagaan Bumiputera di Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas kunjungan hormat berkenaan yang diadakan di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Dalam pertemuan sama, TERAJU turut berkongsi pencapaian pembangunan Bumiputera sejak 2012 hingga 2025, yang mencerminkan kesinambungan usaha bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memperkasa ekosistem keusahawanan Bumiputera.
TERAJU turut menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Sarawak sebagai rakan pelaksana utama, khususnya dalam memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diperkasa secara inklusif dan mampan. -EDISI UKAS