BELAGA: Pendekatan penglibatan komuniti tempatan secara menyeluruh dalam pelaksanaan projek pembangunan disifatkan sebagai faktor utama yang mampu memastikan kelancaran serta penerimaan baik rakyat di kawasan terlibat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang menegaskan bahawa setiap projek perlu melibatkan masyarakat setempat sejak peringkat awal, termasuk memberi bimbingan kepada mereka yang kurang berpengetahuan serta membantu syarikat tempatan untuk turut serta dalam rantaian pembangunan.
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sahaja memudahkan pelaksanaan projek oleh pihak pemaju, malah mewujudkan situasi menang-menang antara pelaksana projek dan penduduk tempatan.
“Kalau ada syarikat tempatan yang belum berdaftar, bantu mereka untuk didaftarkan. Jika sudah ada, berikan peluang dan bimbingan supaya mereka dapat terlibat secara langsung.
“Apabila wujud persefahaman antara semua pihak, projek akan berjalan lancar. Pihak pemaju senang hati, orang tempatan pun senang hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pela Daleh di Pencawang Murum Junction, Simpang Urun, pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sarawak Energy Berhad (SEB) atas pendekatan libat urus yang inklusif dengan menjemput pemimpin setempat, pegawai daerah, serta ketua masyarakat bagi memastikan keperluan rakyat difahami secara menyeluruh.
Mengulas mengenai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), beliau menyifatkan pembinaan klinik yang bakal dibina di kawasan Murum sebagai antara usaha terbaik yang pernah dilaksanakan.
Jelas beliau, kemudahan tersebut amat penting memandangkan sebelum ini penduduk terpaksa menempuh perjalanan jauh ke Bintulu untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Pembinaan klinik ini sangat baik kerana ia melibatkan keperluan asas kesihatan untuk semua penduduk di kawasan penempatan Murum dan sekitarnya.
“Bayangkan sebelum ini, untuk mendapatkan rawatan rujukan, penduduk perlu pergi jauh ke Bintulu. Jadi kemudahan ini amat membantu,” ujarnya.
Tambah beliau, sekiranya inisiatif seumpama itu dilaksanakan lebih awal, pelbagai isu yang dihadapi komuniti setempat sebelum ini mungkin dapat dikurangkan.
Beliau berharap pendekatan inklusif serta pelaksanaan CSR berimpak tinggi akan diteruskan demi memastikan pembangunan yang lebih mampan dan seimbang di kawasan luar bandar.-EDISI UKAS