Model Perkongsian Ekuiti Libatkan Komuniti Perlu Diperluas Dalam Projek Tenaga Sarawak
BELAGA: Pendekatan pembangunan berteraskan penyertaan sebenar komuniti tempatan wajar diperkukuh menerusi model perkongsian ekuiti dalam projek tenaga bagi memastikan manfaat jangka panjang dapat dinikmati rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon menegaskan bahawa inisiatif kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak untuk memperkasa sektor tenaga sebagai pemacu ekonomi serantau amat dialu-alukan, namun pelaksanaannya perlu melibatkan rakyat secara lebih menyeluruh.
Menurut beliau, penglibatan komuniti tidak seharusnya terhad kepada sesi libat urus semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi penyertaan sebenar termasuk pemilikan ekuiti dalam projek yang dilaksanakan.
“Seperti yang ditekankan oleh Premier, penglibatan rakyat amat penting. Kita bukan hanya bercakap tentang engagement, tetapi penyertaan sebenar termasuk peluang memiliki saham dalam projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual semasa Majlis Pela Daleh di Pencawang Murum Junction, Simpang Urun, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkongsi pengalaman meneliti model pembangunan di Kanada yang melibatkan komuniti Orang Asal dalam projek empangan berangkai, yang dilihat berpotensi untuk disesuaikan di Sarawak.
Jelasnya, menerusi model tersebut, komuniti tempatan diberi peluang memiliki pegangan ekuiti bersama pelabur, dengan sokongan pembiayaan yang disediakan kerajaan.
“Kerajaan boleh menyediakan model pembiayaan melalui institusi kewangan sedia ada bagi membolehkan rakyat tempatan mengambil bahagian dalam pelaburan projek.
"Selepas pinjaman dilunaskan, pegangan ekuiti itu akan menjadi milik penuh komuniti,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan ini lebih mampan berbanding hanya bergantung kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bersifat jangka pendek.
Dalam masa sama, beliau turut mencadangkan agar model tersebut diterapkan dalam pelbagai projek tenaga baharu termasuk pembangunan solar terapung dan empangan berangkai, selaras dengan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab tenaga di rantau Asia.
“Sekiranya model ini dilaksanakan lebih awal, masyarakat di kawasan projek seperti Bakun dan Murum mungkin sudah menikmati pulangan yang lebih besar hari ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri dapat mempertimbangkan secara serius pelaksanaan model perkongsian ekuiti berkenaan sebagai sebahagian daripada dasar pembangunan inklusif negeri.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad (SEB) Power, Ir. Bunyak Lunyong, Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah, wakil agensi kerajaan serta ketua masyarakat setempat.-EDISI UKAS