i-CATS Meterai Kerjasama Strategik Perkasa Agenda Kepercayaan Digital Di PROTECT Sarawak 2026
KUCHING: Kolej Universiti i-CATS memperkukuh peranannya dalam agenda transformasi digital Sarawak menerusi pemeteraian kerjasama strategik bersama Purple Door (M) Sdn Bhd sempena program PROTECT Sarawak 2026.
Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai itu meletakkan i-CATS sebagai Rakan Akademik Strategik Kebangsaan, sekali gus memperteguh komitmen institusi berkenaan dalam memajukan kepercayaan digital, memperkasa tadbir urus data serta membangunkan bakat masa hadapan bagi menyokong aspirasi ekonomi digital negeri.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) i-CATS, Profesor Dato’ Dr. Shazali Abu Mansor berkata, kerjasama tersebut merupakan pemangkin strategik dalam menterjemahkan visi kepada impak yang lebih menyeluruh.
Menurut beliau, kolaborasi antara akademia dan industri itu akan mempercepat pembangunan bakat, memperluas perkongsian ilmu serta menyumbang kepada pembentukan dasar dan inovasi dalam tadbir urus data.
Majlis pertukaran MoU tersebut telah disaksikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bersempena majlis penutupan rasmi PROTECT Sarawak 2026 pada Rabu yang turut menampilkan ucaptama serta penglibatan pelbagai pihak berkepentingan daripada sektor kerajaan, industri dan akademia.
Melalui kerjasama ini, i-CATS akan terlibat dalam pelbagai platform berimpak tinggi termasuk persidangan antarabangsa, kelas pakar, bengkel serta dialog dasar, di samping menyumbang kepada pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem inovasi.
PROTECT Sarawak 2026 berperanan sebagai platform strategik yang menghimpunkan pembuat dasar, pemain industri serta institusi akademik bagi membincangkan isu kritikal berkaitan perlindungan data, tadbir urus dan kepercayaan digital.
Kerjasama ini juga selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030), dalam usaha memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab ekonomi digital dan inovasi yang progresif di rantau ini.-EDISI UKAS