Klinik Kesihatan Kuala Balingian Dan Klinik Kesihatan Balingian Perlu Ditambahbaik
BALINGIAN: Peralatan serta infrastruktur di Klinik Kesihatan Kuala Balingian dan Klinik Kesihatan Balingian perlu ditambahbaik bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib, Klinik Kesihatan Kuala Balingian yang telah lama beroperasi kini menampung kira-kira 50 pesakit dari kawasan pedalaman, manakala Klinik Kesihatan Balingian mempunyai kapasiti perkhidmatan lebih besar namun turut memerlukan penambahbaikan.
“Kedua-dua klinik ini memerlukan peningkatan dari segi infrastruktur dan penambahan peralatan agar perkhidmatan kesihatan dapat disampaikan dengan lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian kepada media semasa mengetuai Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak (Siri 2) di dua klinik tersebut pada Rabu untuk menilai sendiri keadaan fasiliti kesihatan luar bandar di samping mengenal pasti keperluan sebenar penduduk.
Ahli Parlimen Mukah itu berkata, antara keutamaan adalah memperkukuh keupayaan klinik menjalankan ujian asas, khususnya bagi penyakit kronik seperti diabetes.
“Kita mahu pesakit tidak lagi perlu ke Hospital Mukah atau Hospital Bintulu semata-mata untuk pengesahan ujian. Kemudahan ini perlu tersedia di peringkat klinik bagi mempercepatkan proses rawatan sebelum dirujuk ke hospital sekiranya perlu,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperuntukkan hampir RM200,000 bagi penyediaan peralatan perubatan termasuk mesin ultrasound, autoklaf dan kemudahan makmal.
“Selain itu, permohonan untuk menggantikan ambulans baharu juga sedang dipertimbangkan bagi mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan kecemasan,” katanya.
Tambah beliau, usaha menaik taraf kemudahan kesihatan tersebut akan dilaksanakan melalui kerjasama antara KKM, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak serta pentadbiran Bahagian Mukah.
“Sebagai Ahli Parlimen Mukah, saya komited memastikan kemudahan kesihatan di kawasan ini terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berharap langkah tersebut dapat memastikan perkhidmatan kesihatan luar bandar terus dipertingkatkan selaras dengan keperluan semasa masyarakat.- EDISI UKAS