RM1.25 Bilion Projek IRSDA Diluluskan, 512 Projek Siap Pacu Pembangunan Samarahan
KUCHING: Sebanyak RM1.254 billion atau 83.61 peratus peruntukan daripada keseluruhan RM 1.5 billion telah diluluskan setakat suku pertama Tahun 2026 bagi pelaksanaan projek-projek di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), sekali gus mencerminkan kemajuan signifikan pelaksanaan pembangunan di Bahagian Samarahan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada keseluruhan 637 projek yang dirancang, sebanyak 512 projek atau 80.38 peratus telah siap dilaksanakan.
“Selain itu, 32 projek (5.02 peratus) masih dalam pelaksanaan, manakala 87 projek (13.66 peratus) berada dalam peringkat perancangan dan enam projek (0.94 peratus) telah dibatalkan atas faktor tertentu termasuk pertindihan jajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA Bilangan 1 Tahun 2026 yang berlangsung di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, sebanyak RM236.13 juta atau 15.74 peratus lagi melibatkan projek dalam perancangan, manakala baki RM9.78 juta atau 0.65 peratus merupakan Pool Savings IRSDA.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kepentingan pemantauan berkala serta tindakan proaktif oleh agensi pelaksana bagi memastikan projek yang masih dalam perancangan dapat disegerakan demi manfaat rakyat.
“Penyelarasan yang berkesan amat penting supaya setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar serta memberi impak maksimum kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya turut menggalakkan agar lebih banyak program penyerahan projek siap dilaksanakan oleh wakil rakyat di kawasan masing-masing sebagai usaha menzahirkan hasil pembangunan kerajaan kepada rakyat.
Pada majlis sama, turut diadakan sesi penyerahan Buletin IRSDA 2025 serta buku Senarai dan Lokaliti Projek IRSDA kepada semua wakil rakyat di Bahagian Samarahan.
Manakala buku Senarai dan Lokaliti Projek IRSDA pula merekodkan keseluruhan 637 projek pembangunan yang dilaksanakan sejak penubuhan IRSDA, melibatkan tiga kawasan Parlimen iaitu Kota Samarahan, Batang Sadong dan Batang Lupar.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak merangkap ADUN Sebuyau Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap ADUN Sadong Jaya Datuk Ir Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Simunjan Awla Dris, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang serta Pegawai Tadbir Khas IRSDA Anuar Da'an. -EDISI UKAS