SAINS–MoveNet Jalin Kerjasama Teroka Inovasi Perdagangan Digital Sarawak
KUCHING: Sarawak Information Systems Sdn Bhd (SAINS) memeterai pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MoveNet Malaysia Sdn Bhd bagi meneroka peluang memperkukuh ekosistem perdagangan digital di Sarawak.
Kerjasama tersebut menjadi platform awal bagi kedua-dua pihak mengenal pasti potensi kolaborasi dalam bidang perdagangan digital, termasuk cadangan pelaksanaan inisiatif Single Trade Window (STW) di Sarawak, sekaligus bertujuan meningkatkan kecekapan, ketelusan serta penyelarasan dalam proses berkaitan perdagangan.
Menerusi MoU berkenaan, SAINS dan MoveNet Malaysia akan bekerjasama dalam aspek perbincangan teknikal, perkongsian kepakaran serta pembangunan konsep penyelesaian digital yang bersesuaian bagi memudahkan urusan perdagangan.
Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Busiai Seman berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong agenda transformasi digital Sarawak.
“Melalui kerjasama ini, kami berusaha memahami dengan lebih mendalam bagaimana penyelesaian digital dapat mempertingkatkan fasilitasi perdagangan serta memperkukuh koordinasi antara pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Majlis pertukaran MoU tersebut melibatkan Busiai dan Naib Presiden Kanan MoveNet Malaysia, Steven Lim Kee Seng, serta disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Acara itu berlangsung sempena PROTECT Sarawak 2026, sebuah persidangan antarabangsa yang memfokuskan kepada privasi data dan kepercayaan digital.
SAINS merupakan penyedia penyelesaian ICT utama di Sarawak yang memainkan peranan penting dalam memacu transformasi digital negeri, selain menawarkan perkhidmatan menyeluruh merangkumi integrasi sistem dan pembangunan solusi teknologi untuk sektor awam serta swasta.-EDISI UKAS