TEGAS Raih Pengiktirafan BrandLaureate BestBrands 2026, Perkukuh Pembangunan Usahawan Sarawak
KUALA LUMPUR: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) terus mengukuhkan peranannya dalam pembangunan usahawan dan pemerkasaan komuniti apabila menerima The BrandLaureate Bumiputera BestBrands Awards 2026 dalam kategori Excellence in Entrepreneurship Development & Community Empowerment.
Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung di The Majestic Hotel Kuala Lumpur dan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) merangkap Timbalan Pengerusi TEGAS, Dr Jerip Susil yang mewakili Pengerusi TEGAS, Datuk Len Talif Salleh bersama Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang.
Datuk Len Talif berkata, pengiktirafan tersebut turut menjadi bukti kejayaan berterusan TEGAS dalam memperkasa ekosistem inovasi dan keusahawanan digital di Sarawak melalui pelbagai inisiatif strategik dan kolaborasi bersama pelbagai pihak.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini yang mencerminkan usaha kolektif seluruh warga TEGAS serta sokongan berterusan dari Kerajaan Sarawak dan rakan strategik.
“Anugerah ini menjadi pemangkin untuk kami terus memperkukuh inisiatif dalam membangunkan bakat, memperkasa komuniti dan merangsang pertumbuhan keusahawanan digital di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Pengiktirafan berprestij ini mencerminkan komitmen berterusan TEGAS sejak 2012 dalam memacu inovasi digital, pendidikan STEM dan TVET serta pembangunan keusahawanan di Sarawak, dengan pelaksanaan 102 program sepanjang 2025 yang melibatkan lebih 1.08 juta peserta dan memberi impak besar terhadap akses pendidikan, kemahiran digital serta peluang keusahawanan.
Antara inisiatif utama TEGAS termasuk TEGAS Digital Village dan TEGAS Digital Innovation Hub yang berperanan sebagai pemangkin pertumbuhan syarikat pemula, memudah cara pemindahan teknologi serta mempercepatkan proses pengkomersialan, selaras dengan aspirasi Sarawak ke arah ekonomi digital menjelang 2030.
Anugerah BrandLaureate BestBrands 2026 yang bertemakan pemerkasaan jenama Bumiputera turut menekankan kecemerlangan, daya tahan dan keupayaan organisasi dalam membina jenama berimpak tinggi, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara serta mengukuhkan kedudukan di peringkat nasional dan global.-EDISI UKAS