Integriti Pemangkin Jadikan Sarawak Destinasi Pelancongan Diyakini Dunia
KUCHING: Integriti diangkat sebagai tunjang utama dalam memperkukuh daya saing dan kelestarian sektor pelancongan Sarawak, sejajar aspirasi menjadikan negeri ini sebagai destinasi bertaraf antarabangsa yang dipercayai dan dihormati.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, pembangunan industri pelancongan, seni dan warisan tidak boleh hanya bergantung kepada peningkatan ketibaan pelawat serta pengiktirafan global semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuh dengan nilai integriti yang tinggi dalam setiap aspek penyampaian perkhidmatan.
Menurut beliau, berdasarkan laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2025 oleh Transparency International, Malaysia mencatat peningkatan kepada 52 mata dan berada di kedudukan ke-54 dunia berbanding ke-57 sebelumnya, sekali gus mencerminkan kemajuan positif dalam usaha memperkukuh tadbir urus.
“Sasaran negara adalah untuk mencapai kelompok 25 negara teratas menjelang tahun 2033 dan ini memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak termasuk penjawat awam, sektor swasta dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Datuk Snowdan Lawan sempena Hari Integriti Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) di Kuching, pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa Sarawak perlu memainkan peranan strategik dengan menjadikan integriti sebagai asas utama dalam memastikan pembangunan sektor pelancongan yang mampan, memandangkan industri ini sangat bergantung kepada kepercayaan, reputasi dan pengalaman pelawat.
“Tanpa integriti, segala kelebihan negeri ini boleh terjejas kerana amalan seperti ketirisan, salah guna kuasa, rasuah dan kurangnya ketelusan boleh merosakkan reputasi yang telah lama dibina serta menjejaskan keyakinan pelabur dan pelawat,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pengukuhan integriti akan memastikan industri pelancongan Sarawak terus berkembang secara mampan, bukan sahaja sebagai destinasi yang indah, tetapi juga diyakini di peringkat antarabangsa.
Dalam pada itu, MTCP turut mencatat pencapaian penting apabila berjaya mengekalkan pensijilan MS ISO 37001:2015 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) serta memperoleh pensijilan MS ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) tahun ini.
Beliau turut menyifatkan langkah tersebut sebagai pendekatan holistik dan proaktif dalam membina ekosistem tadbir urus berintegriti tinggi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Setiausaha Tetap MTCP Morshidi Fredrick, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak Wan Mohamad Wan Drahman dan Timbalan Setiausaha Tetap MTCP Julin Alen. -EDISI UKAS