MPKS Anjur Bengkel VLR Siri 3 Perkukuh Agenda Pembangunan Mampan
KUCHING: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dengan kerjasama Urbanice Malaysia menganjurkan Bengkel Voluntary Local Review (VLR) Siri 3 di Kuching pada Rabu, sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan agenda pembangunan mampan di peringkat tempatan.
Penganjuran bengkel ini merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Siri 1 dan Siri 2 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, kementerian, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta sektor swasta dalam usaha mengumpul data dan maklumat berkaitan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) di peringkat tempatan.
Bagi Siri 3, tumpuan diberikan kepada penglibatan dalaman MPKS yang melibatkan kepimpinan tertinggi seperti Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta Ketua-Ketua Bahagian bagi memastikan penyelarasan dasar dan hala tuju strategik dapat diperkukuh secara menyeluruh.
Fokus utama bengkel adalah kepada semakan kompilasi data yang telah dikumpulkan sebelum ini, selain mengenal pasti jurang pelaksanaan antara pencapaian semasa dengan sasaran SDG yang ditetapkan.
Dalam masa yang sama, penekanan turut diberikan kepada penyediaan data bagi pembangunan SDG Roadmap sebagai panduan ke arah penyiapan laporan VLR MPKS, termasuk penetapan keutamaan strategik serta pengukuhan pelan tindakan yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta terlibat dalam perbincangan berfokus bagi memastikan setiap dapatan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang praktikal serta selari dengan keperluan pembangunan setempat.-EDISI UKAS