MPKS Laksana Operasi Sitaan, Perkukuh Penguatkuasaan Kawasan Awam
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah melaksanakan operasi sitaan di beberapa lokasi dalam kawasan pentadbirannya pada Rabu sebagai langkah tegas memperkukuh penguatkuasaan terhadap pelanggaran peraturan penggunaan kawasan awam.
Operasi tersebut dijalankan bagi membanteras aktiviti individu atau peniaga yang meninggalkan barangan di lokasi yang tidak dibenarkan, sekali gus menjejaskan susun atur serta keselamatan persekitaran awam.
Dalam operasi tersebut, pihak MPKS telah menyita pelbagai barangan termasuk dua buah gerai, kanopi, tong gas, kerusi serta beberapa barangan jualan lain yang didapati diletakkan tanpa kebenaran.
Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan bagi memastikan kawasan awam sentiasa berada dalam keadaan teratur, selamat dan bebas daripada sebarang halangan, di samping menjamin semua aktiviti perniagaan dijalankan mengikut garis panduan serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya para peniaga diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan sedia ada serta mendapatkan kelulusan daripada pihak MPKS sebelum menjalankan sebarang aktiviti perniagaan di kawasan awam.
MPKS akan terus mempergiat pemantauan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi dalam kalangan masyarakat, sekali gus mewujudkan persekitaran bandar yang lebih tersusun, kondusif dan lestari di Kota Samarahan.-EDISI UKAS