BINTULU: Perancangan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Bahagian Limbang diperkasa melalui pendekatan lebih strategik dan berfokus bagi memastikan setiap projek pembangunan luar bandar memberi impak maksimum kepada rakyat.
Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaan RTP tidak hanya bergantung kepada perancangan, tetapi turut memerlukan tindakan susulan yang cekap dan berkesan oleh semua agensi terlibat.
Beliau berkata, segala hasil perbincangan dan senarai projek yang telah dikenal pasti perlu disusuli dengan tindakan yang berkesan agar tidak terhenti di peringkat perancangan sahaja.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan penangguhan Bengkel Penyediaan RTP Bahagian Limbang 2026 yang berlangsung di NU Hotel, Bintul pada Selasa.
Menurutnya, bengkel selama dua hari itu berjaya menyelaras dan menyusun cadangan projek pembangunan luar bandar secara lebih tersusun serta selari dengan keutamaan pembangunan negeri.
Yunus turut menyatakan kepuasan terhadap tahap penglibatan aktif semua pihak dalam mengenal pasti serta menyusun keutamaan projek RTP yang benar-benar memberi impak kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Sepanjang bengkel, peserta didedahkan dengan garis panduan penyediaan RTP melalui taklimat oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), selain sesi soal jawab, perbincangan kumpulan dan pembentangan cadangan projek oleh Pejabat Daerah Limbang serta Lawas.
Pendekatan tersebut membolehkan keutamaan projek dikenal pasti secara menyeluruh meliputi aspek infrastruktur asas, kemudahan awam dan pembangunan sosioekonomi berdasarkan keperluan setempat.
Dalam pada itu, bengkel berkenaan turut memperkukuh kerjasama antara agensi serta meningkatkan kecekapan dalam perancangan pembangunan luar bandar.
Beliau menambah bahawa bengkel tersebut bukan sahaja menjadi platform merangka projek pembangunan, malah membantu memastikan setiap cadangan selaras dengan keutamaan pembangunan negeri Sarawak.
Tambah beliau, komitmen berterusan semua pihak amat penting bagi memastikan setiap projek RTP dapat dilaksanakan mengikut perancangan serta memberi manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat di Limbang.-EDISI UKAS