JTS Serah RM145,000 Kepada 13 Entiti Di Tasik Biru Melalui Program CSR
BAU: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Kuching menyerahkan sumbangan cek berjumlah RM145,000 kepada 13 entiti dari konstituensi Tasik Biru menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2026 pada Rabu.
Majlis penyerahan berlangsung di Kompleks Pejabat Daerah Bau dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep.
Sumbangan tersebut bertujuan membantu penerima melaksanakan pelbagai program serta projek pembangunan komuniti melibatkan sektor rumah ibadat, pendidikan dan persatuan setempat.
Berucap ringkas pada majlis, Datuk Henry menekankan supaya para penerima menggunakan peruntukan secara bertanggungjawab mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak JTS supaya memberi impak positif dan tidak disalahgunakan.
Bagi projek peningkatan taraf sosial rumah ibadat, penerimanya adalah Surau Al-Baraqah Kampung Seberang Buso, Gereja Katolik St. Stephen Bau, Masjid Darul Ikhsan Kampung Buso dan Gereja St. Thomas Apostle Kampung Skiat Baru dengan jumlah diterima masing-masing sebanyak RM10,000.
Manakala bagi program peningkatan taraf sosial pendidikan pula, penerima adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bau, Sekolah Kebangsaan (SK) Buso, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua Buso, SJKC Chung Hua Sebuku, SJKC Chung Hua Musi dan SJKC Chung Hua Tondong masing-masing sebanyak RM12,500.
Selain itu, penerima sumbangan untuk program peningkatan taraf sosial persatuan adalah Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Skiat Baru, JKKK Kampung Buso dan JKKK Kampung Seberang Buso masing-masing sebanyak RM10,000. -EDISI UKAS