Program Celik Digital MATRADE Bantu Usawahan Sarawak Teroka Pasaran Global
MIRI: Program Celik Digital anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dengan kerjasama strategik Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) telah membantu usahawan Sarawak untuk meneroka pasaran global.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pengeksport) MATRADE, Mansor Shah Wahid berkata, penganjuran program tersebut merupakan kesinambungan kejayaan edisi terdahulu di Kuching pada Disember 2025 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti usahawan tempatan.
Menurut beliau, program Celik Digital berperanan sebagai platform penting untuk memberi pendedahan kepada Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) mengenai peluang eksport melalui digitalisasi.
Katanya, bagi usahawan baharu, program ini menjadi pintu masuk memahami asas perdagangan digital, manakala bagi yang lebih berpengalaman, ia membantu memperkukuh strategi pemasaran, logistik dan penembusan pasaran antarabangsa.
“Dalam dunia perniagaan masa kini, sempadan fizikal bukan lagi penghalang. Dengan hanya telefon pintar dan akses internet, usahawan mampu memasarkan produk ke peringkat global. Justeru, penguasaan digital bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis perasmian program berkenaan, di sini, pada Selasa.
Beliau turut menegaskan bahawa MATRADE sentiasa komited membantu usahawan tempatan menembusi pasaran global melalui pelbagai inisiatif termasuk program eBizLink, platform MADANI Digital Trade (MDT) serta latihan menerusi MATRADE Digital Learning (MDL).
Dalam pada itu, Mansor turut memaklumkan bahawa prestasi perdagangan Malaysia pada tahun 2025 mencatatkan pencapaian memberangsangkan dengan jumlah perdagangan mencecah RM3.061 trilion, manakala eksport pula mencapai RM1.607 trilion.
“Pencapaian ini mencerminkan kedudukan kukuh Malaysia dalam rantaian bekalan global, meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan geopolitik dan perubahan landskap perdagangan dunia,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan usahawan untuk terus memperkukuh strategi eksport dengan meneroka pasaran baharu, mempelbagaikan produk serta memanfaatkan sepenuhnya perjanjian perdagangan bebas (FTA) bagi meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa. -EDISI UKAS