Pengukuhan Institusi Keluarga Pacu Sasaran Kesejahteraan Sarawak
BINTULU: Sarawak menyasarkan peningkatan Indeks Kesejahteraan Sosial melebihi 8.0 menjelang 2030 menerusi pengukuhan institusi keluarga sebagai asas utama pembangunan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, usaha itu selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pembinaan masyarakat inklusif, berdaya tahan dan sejahtera.
“Pencapaian sasaran ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa keluarga yang stabil, harmoni dan saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penangguhan Kursus Pasca Perkahwinan Siri 1/2026 di sini, pada Rabu.
Tambahnya, perkahwinan bukan sekadar satu ikatan, sebaliknya merupakan amanah besar yang memerlukan kesabaran, persefahaman, toleransi serta tanggungjawab bersama antara suami dan isteri.
Iskandar menambah, penyertaan kira-kira 100 peserta mencerminkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pembangunan keluarga sebagai asas kepada kesejahteraan komuniti.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak merancang pelbagai program pemantapan institusi keluarga termasuk keibubapaan, pengurusan keluarga, penjagaan warga emas serta sesi perkongsian keluarga.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Bintulu Sayu Hendry Kasi, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Wanita dan Keluarga Mohamad Zakaria Abdul Wahab dan penceramah kursus Nora Morshidi serta Temenggong Chai Shong Pian. -EDISI UKAS