MBKS Pergiat Agenda Rendah Karbon, Perluas Penanaman Pokok
KUCHING: Usaha memperluas penanaman pokok terus diperkasa sebagai langkah kritikal mengurangkan pelepasan karbon serta mempercepat agenda bandar rendah karbon di ibu negeri.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng menegaskan bahawa inisiatif penghijauan bandar bukan sekadar aktiviti simbolik, sebaliknya merupakan intervensi penting dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
“Setiap pokok yang kita tanam membantu menyerap karbon dioksida dari udara apabila terlalu banyak karbon dioksida, ia akan menyebabkan pemanasan global,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program penanaman pokok sempena sambutan Hari Bumi Sedunia di sini, hari ini.
Sebanyak 68 pokok ditanam dalam program berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menjadikan kawasan bandar lebih hijau, sejuk dan selesa untuk didiami.
“Lebih banyak pokok bermakna udara lebih bersih, persekitaran lebih sejuk dan tempat tinggal yang lebih sihat,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa pihak MBKS telah menanam antara 2,000 hingga 3,000 pokok dalam tempoh lima tahun lalu sebagai sebahagian daripada pelan penghijauan bandar.
Inisiatif tersebut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan), SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat).
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam usaha pemeliharaan alam sekitar melalui penanaman pokok secara bertanggungjawab.
“Melindungi bumi adalah tanggungjawab semua… kita perlu pastikan pokok yang ditanam sesuai dan tidak menjejaskan persekitaran,” katanya.
Tambah beliau, pendekatan berterusan melalui program kesedaran dan tindakan lapangan penting bagi memastikan usaha penghijauan bandar memberi impak jangka panjang kepada kesejahteraan komuniti serta kelestarian alam sekitar.-EDISI UKAS