1,528 Penerima Di Miri Terima Sumbangan Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Dayak
MIRI: Seramai 1,528 penerima bantuan kebajikan di Bahagian Miri yang menyambut Hari Gawai Dayak tahun ini menerima sumbangan khas daripada kerajaan dengan 150 daripadanya diraikan secara bersemuka dalam Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai Dayak Miri 2026 yang berlangsung di perkarangan Dynasty Hotel, pagi Khamis.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keseluruhan penerima akan menerima bantuan tunai sebagai persiapan menyambut perayaan Gawai.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 150 penerima yang hadir hari ini menerima sumbangan RM100 setiap seorang, manakala 100 lagi penerima akan menerima bantuan sama dalam majlis berasingan di Bekenu pada 25 Mei depan.
“Selebihnya, 1,278 penerima akan menerima bantuan melalui pengkreditan terus ke akaun masing-masing,” katanya semasa majlis tersebut.
Secara keseluruhan, jumlah sumbangan sempena Hari Gawai Dayak tahun ini adalah sebanyak RM152,800, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu golongan kurang berkemampuan, khususnya dalam menghadapi kos persiapan perayaan.
Selain itu, pihak Dynasty Hotel turut menyumbang hamper makanan bernilai RM150 setiap satu kepada 150 penerima yang hadir, melibatkan jumlah sumbangan korporat sebanyak RM22,500.
Menurut statistik terkini, bagi tempoh Januari hingga April 2026, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri telah menyalurkan bantuan bulanan berjumlah RM9.18 juta kepada 4,803 penerima di bawah pelbagai skim bantuan.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, wakil Residen Bahagian Miri Philip Abeng dan Pengarah Urusan Dynasty Hotel Miri Tony Pui. -EDISI UKAS