Sukan Sekolah Perkukuh Sahsiah, Pacu Generasi Berdaya Saing
BINTULU: Penganjuran sukan sekolah perlu terus diperkasa sebagai platform utama membentuk disiplin, daya tahan dan semangat kerjasama dalam kalangan murid, selari dengan usaha melahirkan generasi berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kejohanan sukan tahunan bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya berperanan penting dalam pembangunan sahsiah dan jati diri pelajar.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Kali Ke-50 Sekolah Kebangsaan Ulu Segan pada Khamis.
Menurut beliau, nilai seperti berani mencuba, semangat juang dan disiplin perlu diterapkan sejak peringkat awal bagi memastikan murid mampu menghadapi cabaran masa hadapan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan sesebuah sekolah memerlukan kerjasama erat antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Beliau turut memuji sokongan berterusan masyarakat terhadap Sekolah Kebangsaan Ulu Segan yang disifatkan sebagai faktor penting dalam memperkukuh kecemerlangan institusi pendidikan luar bandar.
Tambah beliau, SK Ulu Segan berpotensi mencapai sasaran sebagai sekolah terbaik di Bahagian Bintulu menjelang tahun 2028 sekiranya komitmen semua pihak terus diperkukuh.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan murid.
Beliau turut mengiktiraf usaha Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan kemudahan pendidikan luar bandar termasuk pembinaan infrastruktur sekolah yang lebih kondusif dan selamat.
Sebagai tanda komitmen berterusan terhadap pembangunan pendidikan, beliau turut mengumumkan sumbangan kepada pihak sekolah bagi memperkukuh kemudahan serta pelaksanaan program pendidikan.
Kejohanan yang memasuki edisi ke-50 itu berlangsung meriah dengan penyertaan aktif murid, guru serta sokongan komuniti setempat, sekali gus mencerminkan kepentingan sukan sebagai elemen penting dalam pembangunan holistik pelajar.-EDISI UKAS