Mayfest 2026 Pacu Perpaduan, Rancakkan Ekonomi Komuniti Miri
MIRI: Mayfest 2026 berpotensi menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai etnik di Miri selain merancakkan aktiviti ekonomi komuniti melalui penglibatan menyeluruh penduduk tempatan sepanjang penganjuran festival itu.
Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata, sambutan ulang tahun ke-21 Bandaraya Miri bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya mencerminkan kemajuan pesat serta keharmonian masyarakat yang telah dibina sejak pengiktirafan bandar raya itu pada 20 Mei 2005.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Mayfest 2026 bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-21 Bandaraya Miri di Dewan Bandaraya Miri, pada Khamis.
Menurut beliau, Mayfest merupakan festival sepanjang bulan Mei yang menghimpunkan pelbagai program dan aktiviti yang bukan sahaja menghidupkan suasana bandar, malah memperkukuh identiti Miri sebagai bandar raya berbilang budaya.
Tambah beliau, tema “Multicultural” yang diketengahkan tahun ini menggambarkan kepelbagaian 32 kumpulan etnik di Miri yang hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa penganjuran Mayfest bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya memerlukan penglibatan aktif komuniti secara menyeluruh.
Beliau turut menggalakkan lebih banyak persatuan, penganjur dan orang awam untuk tampil menganjurkan program terbuka kepada masyarakat bagi menyemarakkan sambutan sepanjang bulan tersebut.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Turut hadir Residen Bahagian Miri Galong Luang, Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Ariffin Mohamad serta Pengerusi Penyelaras MayFest 2026 Sean Huang Hong Siong.
Sebagai acara kemuncak, Majlis Bandaraya Miri akan menganjurkan program utama selama lima hari bermula 20 hingga 24 Mei 2026 yang merangkumi pelbagai aktiviti komuniti, jualan makanan jalanan, persembahan kebudayaan serta program kesedaran.
Penganjuran tersebut dijangka memberi limpahan manfaat kepada masyarakat setempat selain mengukuhkan kedudukan Miri sebagai bandar raya yang dinamik, inklusif dan berdaya saing.-EDISI UKAS