Naik Taraf Jalan Long Aya–Long Sobeng Siap Dalam Tempoh 30 Bulan
TINJAR: Projek menaik taraf jalan dari Long Aya ke Long Sobeng yang menelan kos RM133.4 juta dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jalan ini akan membuka peluang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung di sepanjang laluan itu, sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.
“Jajaran projek merangkumi laluan dari Long Aya ke Long Sobeng, Tinjar dengan anggaran panjang sekitar 35 kilometer, yang akan dinaik taraf mengikut piawaian Jalan Raya JKR R1,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pecah tanah Projek Cadangan Bagi Menaiktaraf Jalan Sedia Ada dari Simpang Lapok ke Long Puoh, di sini, pada Khamis.
Selain menaik taraf jalan, projek ini turut melibatkan pembinaan empat jambatan komposit keluli iaitu Jambatan Sungai Aya sepanjang 40 meter, Sungai Sepidik (54 meter), serta dua jambatan di Sungai Sobeng masing-masing sepanjang 30 meter.
Apabila siap kelak, projek ini dijangka memberi manfaat secara langsung kepada kira-kira 2,714 penduduk di rumah panjang sepanjang jajaran projek termasuk Long Aya, Long Sobeng, Long Dunin, Long Pejawai, Long Aton, Long Nuah dan Long Puah.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, projek ini turut memperkukuh hubungan dalam kawasan Telang Usan dengan meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan.
“Di samping memudahkan pengangkutan barangan tempatan serta hasil pertanian ke pasaran berhampiran seperti Long Lapok dan Long Lama,” katanya.
Projek ini merupakan salah satu inisiatif Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Hadir sama Ahli Parlimen Baram Datuk Anyie Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajang. -EDISI UKAS