Kesedaran Komuniti Kunci Tangani Pencemaran di Jepak
BINTULU: Tahap kesedaran dan tindakan komuniti dikenal pasti sebagai faktor utama dalam menangani isu pencemaran sungai dan pembakaran terbuka yang semakin membimbangkan di kawasan Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, sikap tidak bertanggungjawab seperti pembuangan sampah ke dalam sungai memberi kesan langsung kepada kualiti sumber air serta meningkatkan kos rawatan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti Jepak di Dewan Masyarakat Kampung Jepak pada Khamis.
Menurut beliau, pendekatan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi tanpa penglibatan aktif masyarakat dalam mengurus sisa dan memelihara kebersihan persekitaran secara berterusan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa isu pembakaran terbuka dan kebakaran tanah gambut perlu ditangani secara serius berikutan implikasinya terhadap kesihatan awam, alam sekitar serta imej negeri.
Tambah beliau, program kesedaran yang dilaksanakan secara berterusan mampu membentuk masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab, sekali gus mendorong tindakan kolektif dalam menjaga kelestarian alam sekitar.
Turut hadir wakil agensi kerajaan, ketua masyarakat dan ketua kaum serta komuniti setempat.
Program tersebut diisi dengan pelbagai aktiviti kesedaran termasuk perkongsian maklumat serta penglibatan langsung komuniti dalam usaha memelihara kebersihan dan kelestarian persekitaran.-EDISI UKAS