Bengkel Dua Hari Lahirkan Pewaris ‘Ngepan’ Batang Rajang
KAPIT: Seramai 17 peserta berjaya menamatkan Bengkel Kelas Baju Ujan (Ngepan Batang Rajang) anjuran Serakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Kapit, sekali gus melahirkan generasi pewaris dalam memastikan kesinambungan seni warisan masyarakat Iban.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang Adat dan Bumiputera), Jefferson Jamit Unyat berkata, Ngepan Iban bukan sekadar pakaian tradisional, malah merupakan simbol identiti dan maruah masyarakat yang perlu terus dipelihara.
“Peserta bengkel ini bukan sahaja mempelajari kemahiran menghasilkan ngepan, tetapi mereka juga adalah ‘pustaka hidup’ yang akan memastikan warisan ini terus kekal dan diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Bengkel Kelas Baju Ujan (Ngepan Batang Rajang) yang berlangsung dari 28 hingga 29 April di Dewan Suarah Kapit.
Menurut beliau, warisan tersebut turut mempunyai potensi ekonomi yang boleh dikembangkan melalui pengkomersialan serta pemanfaatan platform digital sebagai medium pemasaran.
Beliau turut menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM25,000 bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan.
Program yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak melalui Dana MudahCara itu turut memperlihatkan nilai seni tinggi dalam penghasilan ngepan, dengan kos sepasang dianggarkan mencecah RM1,500.
Penganjuran bengkel tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memartabatkan warisan budaya Iban, khususnya dalam memastikan seni Ngepan Batang Rajang terus dipelihara, diwarisi dan dikembangkan sebagai identiti serta sumber ekonomi komuniti setempat.-EDISI UKAS