Insentif Kerajaan Sarawak Ringankan Beban Rakyat Berstatus ‘K’
MERADONG: Pelbagai insentif yang disediakan Kerajaan Sarawak kepada rakyat negeri ini yang berstatus ‘K’ terus menjadi pemangkin dalam meringankan beban serta meningkatkan kesejahteraan kehidupan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, bantuan tersebut merangkumi pelbagai golongan termasuk ibu yang melahirkan anak, warga emas, golongan bujang dan berkeluarga serta pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
“Kerajaan Sarawak sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat dengan menyediakan pelbagai insentif kepada mereka yang layak, khususnya rakyat berstatus ‘K’,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Lawatan Pra Gawai Hari Ke-8 DUN N.46 Meradong Tahun 2026 yang berlangsung di beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Lelabi, Bintangor pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan di kawasan luar bandar seperti Meradong akan terus diperkasa selagi negeri ini dipimpin oleh Premier Sarawak.
Menurut Datuk Ding, pendekatan turun padang melalui lawatan Pra Gawai juga menjadi platform terbaik untuk bertemu secara langsung dengan penduduk, mendengar permasalahan yang disuarakan oleh Tuai Rumah serta meninjau sendiri keperluan komuniti setempat.
Tambahnya, kawasan DUN Meradong bertuah kerana mempunyai dua wakil rakyat yang komited terhadap kebajikan rakyat iaitu beliau sendiri serta Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap ADUN Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk rumah panjang agar terus memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat serta pembangunan negeri.-EDISI UKAS