Tanah Lembap Benteng Semula Jadi, Perlu Dipelihara Dari Ancaman
TANJUNG MANIS: Kawasan tanah lembap berperanan sebagai benteng semula jadi yang penting dalam mengawal banjir, menapis air serta mengekalkan keseimbangan ekosistem, justeru usaha pemuliharaannya perlu diperkukuh.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, kawasan tersebut bukan sahaja menjadi habitat flora dan fauna, malah turut menyumbang kepada sumber ekonomi komuniti melalui aktiviti perikanan dan ekopelancongan.
“Alam ini bukan warisan nenek moyang kita, tetapi amanah yang dipinjam daripada generasi masa hadapan.
“Jika ancaman seperti pembangunan tidak terkawal, pencemaran dan perubahan iklim tidak ditangani, kita berisiko kehilangan khazanah alam yang sangat bernilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kesedaran Awam (CEPA) bersama pelajar di Sekolah Kebangsaan Orang Kaya Muda Pakeri, Paloh, di sini pada Rabu.
Menurut beliau, kawasan Ramsar merangkumi pelbagai ekosistem penting seperti paya bakau, tasik, sungai, delta serta kawasan pesisir pantai yang memainkan peranan besar dalam mengekalkan keseimbangan alam sekitar.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat agar berganding bahu dalam memelihara kawasan tersebut demi kesejahteraan bersama.
Program berkenaan turut memberi penekanan kepada usaha memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.-EDISI UKAS