Sarawak Pacu Peralihan Tenaga, Kukuh Peranan Hab Tenaga Bersih ASEAN
KUALA LUMPUR: Sarawak mempercepat agenda peralihan tenaga dengan memperkukuh kapasiti tenaga boleh diperbaharui serta memperluas eksport tenaga, sekali gus mengukuhkan peranan sebagai hab tenaga bersih utama di rantau ASEAN.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, negeri ini berada pada landasan kukuh untuk muncul sebagai pembekal utama tenaga bersih dengan memanfaatkan sumber hidro sebagai pemacu utama pembangunan tenaga hijau.
Menurut beliau, Sarawak kini mempunyai kira-kira 70 peratus kapasiti penjanaan tenaga daripada sumber hidro yang menjadi asas kepada pembangunan hidrogen hijau serta inisiatif tenaga bersih lain.
Tambahnya, projek Baleh Hydroelectric Project (HEP) yang bakal menjana tambahan 1,285 megawatt (MW) akan terus memperkukuh kapasiti tenaga negeri, selain potensi pembangunan solar terapung di empangan hidro sedia ada.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri R.A.C.E to Zero Summit & Exhibition 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre, pada Rabu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa pelaburan strategik dalam infrastruktur penghantaran dan pemodenan grid serta pembangunan industri intensif tenaga di bawah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE) menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan tenaga bersih.
Sarawak turut menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga sebanyak 15 gigawatt (GW) menjelang 2035, dengan sebahagian besar daripada sumber boleh diperbaharui.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Sarawak memperluas peranan sebagai pengeksport tenaga melalui sambungan grid ke Kalimantan Barat serta pembekalan elektrik ke Sabah, selari dengan visi ASEAN Power Grid.
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan pembangunan tenaga Sarawak adalah menyeluruh, merangkumi pemuliharaan biodiversiti, pengurusan karbon, penggunaan tanah lestari serta penyertaan komuniti tempatan dalam peralihan tenaga.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut merasmikan pelancaran siri R.A.C.E to Zero Kuching yang dijadualkan berlangsung pada 8 September 2026 sebagai platform strategik memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pemacu utama tenaga bersih negara.
Program tersebut dijangka menghimpunkan pembuat dasar, pelabur, pemain industri serta institusi kewangan bagi merancakkan pelaburan berimpak tinggi dan memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Turut diadakan sesi meja bulat melibatkan pemain industri, pelabur serta agensi berkaitan bagi membincangkan peluang kerjasama serta mempercepat agenda peralihan tenaga di peringkat serantau.-EDISI UKAS