Mangsa Kebakaran Kampung Bunut Terima Sumbangan Pelbagai Pihak
MUKAH: Mangsa kebakaran di Kampung Bunut menerima sumbangan kewangan, bakul makanan serta keperluan asas hasil kerjasama pelbagai pihak sebagai sokongan kepada mereka yang terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, bantuan berjumlah RM10,000 itu disalurkan melalui Pusat Khidmat DUN Balingian, SABERKAS Cawangan Balingian, Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak (PPMS) serta Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Balingian.
“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan sementara waktu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan tersebut pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Mukah turut menyalurkan bantuan tambahan berupa barangan keperluan asas kepada mangsa terlibat.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah, Dariel Thiong serta Ketua Kampung Bunut, Jali Ghani.-EDISI UKAS