Jelajah Kesihatan Borneo Perkukuh Perkhidmatan, Literasi Kesihatan Terus Diperkasa
MUKAH: Penganjuran Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak (Siri 2) yang dilaksanakan di beberapa klinik kesihatan di Bahagian Mukah menjadi platform penting dalam mengenal pasti permasalahan serta kekurangan kemudahan kesihatan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato Hanifah Hajar Taib berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan kesihatan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, jelajah berkenaan akan diperluaskan ke Sabah pada masa akan datang bagi memastikan penambahbaikan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam masa sama, beliau menegaskan isu literasi kesihatan perlu diberi perhatian serius kerana ia berkait rapat dengan tahap kefahaman masyarakat terhadap istilah serta maklumat kesihatan.
“Sebagai contoh, istilah tuberkulosis atau TB mungkin tidak difahami sepenuhnya oleh sesetengah masyarakat walaupun penyakit itu sendiri berisiko tinggi untuk berjangkit.
“Kurangnya kefahaman ini boleh menyebabkan orang ramai tidak mengambil langkah pencegahan sewajarnya,” katanya selepas merasmikan Program Agenda Nasional Malaysia Sihat Bahagian Mukah di Tapak Kaul Pantai Kala Dana, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, cadangan pengurangan perbelanjaan kerajaan termasuk sektor kesihatan akan dilaksanakan secara berhemah dan masih dalam penelitian bagi memastikan tidak menjejaskan perkhidmatan asas kepada rakyat.
“Sebarang pengurangan peruntukan akan memberi tumpuan kepada aspek yang tidak memberi kesan langsung terhadap rakyat khususnya dalam penyampaian perkhidmatan asas,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan kekal komited meneruskan subsidi bersasar bagi membantu rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup, selain menggalakkan amalan perbelanjaan berhemat serta penggunaan sumber secara bijak.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah.-EDISI UKAS