SUS 2026 Perluas Pasaran PMKS, Sasar Jualan RM3 Juta
KUANTAN: Sarawak memperluas akses pasaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke peringkat nasional menerusi Showcase Usahawan Sarawak (SUS) 2026 dengan sasaran potensi jualan mencecah RM3 juta.
Program yang berlangsung di Kuantan City Mall bermula 29 April hingga 3 Mei itu menghimpunkan usahawan Sarawak sebagai platform strategik memperkukuh jaringan perniagaan serta meningkatkan daya saing produk tempatan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Khamis.
Menurut beliau, penganjuran SUS bukan sekadar platform promosi, sebaliknya menjadi pemangkin kepada aktiviti komersial dan peluasan rangkaian perniagaan usahawan Sarawak.
“Program ini merupakan platform untuk usahawan kita mempromosi produk dan perkhidmatan di peringkat nasional serta memperkukuh jaringan perniagaan dan mempercepatkan aktiviti komersial,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan sesi padanan perniagaan (business matching) melibatkan beberapa syarikat sebagai rakan strategik dijangka membuka peluang pasaran lebih luas kepada produk Sarawak.
“Setakat ini terdapat beberapa syarikat yang berminat menjadi rakan strategik dengan sasaran potensi jualan sebanyak RM3 juta,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa kerjasama antara Sarawak dan Pahang menjadi model strategik dalam memperkukuh hubungan ekonomi serta memperluas peluang pasaran antara wilayah.
“Kerjasama ini mencerminkan pendekatan pembangunan yang menggabungkan warisan dengan inovasi serta ekonomi dengan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, PMKS perlu terus memperkukuh daya saing dengan meningkatkan kualiti produk, meneroka sektor ekonomi baharu serta mengadaptasi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi menembusi pasaran lebih luas.
SUS 2026 turut menampilkan pelbagai produk unik Sarawak merangkumi sektor makanan dan minuman, kraftangan serta produk berasaskan sumber tempatan.
Penganjuran tersebut disokong pelbagai agensi kerajaan dan swasta sebagai usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan serta merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat nasional.
Inisiatif ini dijangka memberi limpahan manfaat kepada usahawan tempatan sekali gus meningkatkan kebolehpasaran produk Sarawak ke pasaran lebih luas termasuk antarabangsa.-EDISI UKAS