Kesiapsiagaan Kebakaran Rumah Panjang Diperkukuh Melalui Bomba Sukarela
TANJUNG MANIS: Komuniti rumah panjang di kawasan pedalaman terus diperkasa dengan penubuhan serta latihan Pasukan Bomba Sukarela sebagai langkah meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi risiko kebakaran.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, ancaman kebakaran tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh berlaku pada bila-bila masa, terutama akibat litar pintas atau kecuaian.
Beliau berkata, beberapa insiden terdahulu yang memusnahkan sebahagian rumah panjang menjadi peringatan jelas tentang pentingnya tindakan pencegahan awal serta kesiapsiagaan dalam kalangan penduduk.
“Pasukan bomba sukarela perlu dilatih secara berkala agar mahir menggunakan peralatan serta memahami aspek keselamatan ketika menghadapi kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyerahan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) dan simbolik pecah tanah Bilik Gerakan Pasukan Bomba Sukarela Stalon di Rumah Panjang Kampung Stalon, pada Jumaat.
Dato Yusuf memaklumkan, sebuah bilik gerakan akan dibina bagi menempatkan peralatan asas kebombaan seperti pam air, hos dan alat pemadam api untuk mempercepatkan tindakan kecemasan.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar sentiasa memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di kediaman mereka termasuk memastikan pendawaian elektrik dalam keadaan baik serta mengelakkan pembakaran terbuka, khususnya ketika musim kemarau.-EDISI UKAS