Projek Jalan Ngungun–Jagau Lebih RM123 Juta, Perkukuh Akses Pedalaman
KANOWIT: Pelaksanaan projek jalan raya bernilai lebih RM123 juta yang menghubungkan Skim Penempatan Semula (SPS) Ngungun hingga SPS Jagau dijangka menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh jaringan perhubungan serta meningkatkan aksesibiliti penduduk di kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, projek tersebut dilaksanakan secara berfasa melibatkan beberapa agensi kerajaan bagi memastikan pelaksanaan yang menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Hari Keluarga Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum Ngemah Tengah dan Ngemah Hilir di Karangan Nanga Bat pada Jumaat.
Menurut beliau, fasa pertama melibatkan laluan SPS Ngungun ke Nanga Bat sepanjang 4.3 kilometer di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bernilai lebih RM37.79 juta telah ditender pada 25 Februari 2026.
Tambah beliau, pelaksanaan projek tersebut kini dalam proses penyelesaian beberapa isu teknikal termasuk urusan pembayaran tanah oleh Jabatan Tanah dan Survei.
Bagi laluan Nanga Bat ke Nanga Pra sepanjang 8 kilometer di bawah Upper Rajang Development Agency (URDA), projek bernilai RM86 juta itu telah mencapai kemajuan 86 peratus.
Dalam perkembangan sama, fasa seterusnya dari Nanga Pra ke Nanga Jagau dijangka ditender pada suku ketiga tahun 2026, tertakluk kepada jadual pelaksanaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Selain itu, satu lagi projek sepanjang 7 kilometer melibatkan jalan masuk ke Simpang Jagau akan ditender dalam masa terdekat bagi melengkapkan rangkaian jalan di kawasan tersebut.
Sebagai langkah jangka pendek, kerajaan negeri akan mengambil alih jalan balak sedia ada untuk dinaik taraf bagi kegunaan penduduk sementara menunggu keseluruhan projek jalan utama siap sepenuhnya.
Pelaksanaan projek ini dijangka memberi impak besar kepada pembangunan sosioekonomi setempat dengan meningkatkan mobiliti, memudahkan akses kepada perkhidmatan asas serta merangsang aktiviti ekonomi di kawasan pedalaman.-EDISI UKAS